Navigation


RSS : Articles / Comments


Refleksi 1

9:41 AM, Posted by irwan, No Comment

Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 (Sila baca sendiri apa yang dimaksudkan dengan kemahiran abad 21)?

Zaman dah berubah, dunia dah maju. Inilah hakikat yang perlu kita terima. Begitu juga dengan proses P&P. Penggunaan papan hitam dan kapur yang menghasilkan debu bolehlah dianggap ketinggalan zaman. Cuba anda bayangkan dua orang yang sedang menaip, seorang menggunakan ‘typewriter’ yang ada laptop di mejanya dan seorang lagi menggunakan laptop yang canggih duduk bersebelahan, apa pandangan anda? Begitulah perumpamaan dua orang guru di sebuah sekolah yang mempunyai kemudahan ICT, seorang memanfaatkannya dan seorang lagi masih di takuk lama. Mesti anda tersenyum kambing kan? Sebagaimana yang diketahui, pelajar sekarang ini kebanyakannya sudah terdedah dengan internet, e-mail,website, animasi dan sebagainya. Oleh itu, mereka menuntut agar proses P&P itu selari dengan kecanggihan masa kini. Pelajar sekarang ini lebih tertarik sekiranya guru itu mampu memindahkan ilmu dalam bentuk yang interaktif yang melibatkan animasi, video, dokumentari, flash dan sebagainya. Justeru, bagi mencapai agenda besar ini, guru hendaklah melakukan transformasi dalam pengajarannya. Bagaimanakah mungkin transformasi itu dilakukan? Jawapannya adalah terletak pada diri guru itu sendiri. Guru hendaklah berusaha agar dapat menguasai kemahiran ICT ini dengan mengikuti kursus-kursus multimedia, melalui pembacaan majalah-majalah seperti majalah PC ataupun belajar daripada guru lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Usaha ini hendaklah dilakukan dengan tekun tanpa mengenal putus asa. Tidak semestinya guru perlu menunggu sehingga dia betul-betul menguasai ICT baru mengaplikasikannya dalam P&P. Sekarang ini, banyak perisian kursus di pasaran yang boleh digunakan sebagai bahan P&P. Dengan penggunaan ICT ini, tumpuan pelajar terhadap guru mungkin agak berkurangan. Ini bermaksud, guru bukanlah segala-galanya bagi pelajar untuk mendapatkan maklumat tentang isi pelajaran. Justeru, guru hendaklah memperlengkapkan diri dengan maklumat-maklumat di luar kotak isi pelajaran yang berkaitan dengannya yang berkaitan dengan isu-isu semasa. Inilah yang tidak ada pada pelajar dan mereka harapkan pada guru. Selain itu, dengan kecanggihan dunia sekarang ini, pelbagai maklumat tidak kira baik ataupun sebaliknya sangat mudah untuk dicapai oleh sesiapa sahaja. Guru hendaklah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajarnya agar mereka tidak tergolong dalam kelompok yang menyalahgunakan ICT. Akhir sekali bagi saya, satu-satunya peranan yang tidak boleh diambil alih oleh kecanggihan ICT adalah kemahiran ‘soft skill’. ‘Soft-skill’ ini seperti meliputi nilai-nilai: kejujuran, penghargaan, sikap toleransi, kemampuan mendengar, empati, kerjasama, sikap sopan dan santun dalam berperilaku, disiplin dan kawalan diri. Pendek kata, transformasi utama yang perlu dilakukan oleh guru abad ini ada dua iaitu boleh menggunakan ICT dalam proses P&P dan dalam masa yang sama boleh menerapkan ‘soft skill’ dalam diri pelajarnya.

No Comment