Navigation


RSS : Articles / Comments


Refleksi 1

9:41 AM, Posted by irwan, No Comment

Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21 (Sila baca sendiri apa yang dimaksudkan dengan kemahiran abad 21)?

Zaman dah berubah, dunia dah maju. Inilah hakikat yang perlu kita terima. Begitu juga dengan proses P&P. Penggunaan papan hitam dan kapur yang menghasilkan debu bolehlah dianggap ketinggalan zaman. Cuba anda bayangkan dua orang yang sedang menaip, seorang menggunakan ‘typewriter’ yang ada laptop di mejanya dan seorang lagi menggunakan laptop yang canggih duduk bersebelahan, apa pandangan anda? Begitulah perumpamaan dua orang guru di sebuah sekolah yang mempunyai kemudahan ICT, seorang memanfaatkannya dan seorang lagi masih di takuk lama. Mesti anda tersenyum kambing kan? Sebagaimana yang diketahui, pelajar sekarang ini kebanyakannya sudah terdedah dengan internet, e-mail,website, animasi dan sebagainya. Oleh itu, mereka menuntut agar proses P&P itu selari dengan kecanggihan masa kini. Pelajar sekarang ini lebih tertarik sekiranya guru itu mampu memindahkan ilmu dalam bentuk yang interaktif yang melibatkan animasi, video, dokumentari, flash dan sebagainya. Justeru, bagi mencapai agenda besar ini, guru hendaklah melakukan transformasi dalam pengajarannya. Bagaimanakah mungkin transformasi itu dilakukan? Jawapannya adalah terletak pada diri guru itu sendiri. Guru hendaklah berusaha agar dapat menguasai kemahiran ICT ini dengan mengikuti kursus-kursus multimedia, melalui pembacaan majalah-majalah seperti majalah PC ataupun belajar daripada guru lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Usaha ini hendaklah dilakukan dengan tekun tanpa mengenal putus asa. Tidak semestinya guru perlu menunggu sehingga dia betul-betul menguasai ICT baru mengaplikasikannya dalam P&P. Sekarang ini, banyak perisian kursus di pasaran yang boleh digunakan sebagai bahan P&P. Dengan penggunaan ICT ini, tumpuan pelajar terhadap guru mungkin agak berkurangan. Ini bermaksud, guru bukanlah segala-galanya bagi pelajar untuk mendapatkan maklumat tentang isi pelajaran. Justeru, guru hendaklah memperlengkapkan diri dengan maklumat-maklumat di luar kotak isi pelajaran yang berkaitan dengannya yang berkaitan dengan isu-isu semasa. Inilah yang tidak ada pada pelajar dan mereka harapkan pada guru. Selain itu, dengan kecanggihan dunia sekarang ini, pelbagai maklumat tidak kira baik ataupun sebaliknya sangat mudah untuk dicapai oleh sesiapa sahaja. Guru hendaklah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajarnya agar mereka tidak tergolong dalam kelompok yang menyalahgunakan ICT. Akhir sekali bagi saya, satu-satunya peranan yang tidak boleh diambil alih oleh kecanggihan ICT adalah kemahiran ‘soft skill’. ‘Soft-skill’ ini seperti meliputi nilai-nilai: kejujuran, penghargaan, sikap toleransi, kemampuan mendengar, empati, kerjasama, sikap sopan dan santun dalam berperilaku, disiplin dan kawalan diri. Pendek kata, transformasi utama yang perlu dilakukan oleh guru abad ini ada dua iaitu boleh menggunakan ICT dalam proses P&P dan dalam masa yang sama boleh menerapkan ‘soft skill’ dalam diri pelajarnya.

Refleksi 2

9:40 AM, Posted by irwan, No Comment

Ramai yang mengatakan guru-guru tidak menggunakan ICT di sekolah kerana mereka belum bersedia. Sekiranya anda ditempatkan di sekolah Bestari, apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah?

Kemudahan yang disediakan di sekolah seperti ICT bukanlah untuk perhiasan semata-mata. Perbuatan tidak memanfaatkan kemudahan ini merupakan suatu bentuk pembaziran. Kos untuk menyediakan kemudahan ini di sekolah bukanlah murah. Oleh itu, adalah sewajarnya bagi guru untuk menghargai kemudahan ini dengan menggunakannya dalam P&P. Sekiranya saya ditempatkan di sekolah Bestari, langkah-langkah yang akan saya lakukan untuk membantu guru-guru lain adalah seperti berikut:
1. Mengenalpasti apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka tidak mahu menggunakan ICT
2. Sekiranya disebabkan tiada kemahiran, saya bersedia membantu mereka dengan sedikit kemahiran yang saya ada dan sekiranya disebabkan mereka sudah mempunyai kemahiran untuk mengendalikan ICT tetapi masih tidak mahu lagi menggunakannya, saya cuba memberitahu kepada mereka akan kepentingan ICT ini dalam arus pendidikan semasa.
3. Memberi cadangan kepada pengetua sekolah agar mengadakan kursus kemahiran ICT di sekolah dengan menjemput pakar dalam bidang ini. Kursus ini bolehlah diadakan pada hujung minggu.
4. Memberi cadangan kepada pengetua agar setiap perhimpunan rasmi sekolah juga menggunakan ICT bukan sekadar menggunakan mikrofon semata-mata.
5. Memberi cadangan kepada pengetua agar diadakan minggu kesedaran ICT sebagaimana selalu diadakan minggu bahasa.

Refleksi 3

9:37 AM, Posted by irwan, No Comment

Untuk refleksi seterusnya, berikut adalah soalan-soalan yang perlu dibincangkan bersama. Soalan-soalan ini menuntut anda memikirkan pengalaman yang telah dilalui pada semester ini yang berkaitan dengan pembelajaran atas talian menggunakan Moodle (ADEC). Soalan-soalan ini adalah amat penting kerana ianya akan membantu anda sebagai seorang guru yang juga akan menggunakan pembelajaran atas talian dengan murid-murid anda suatu hari nanti.
1- Apakah ciri-ciri dan kemahiran yang ada pada anda membolehkan anda mengawal proses pembelajaran anda secara atas talian?

Ciri-ciri dan kemahiran yang ada pada saya bagi membolehkan saya mengawal proses pembelajaran secara atas talian adalah:

 Mempunyai kemahiran asas dalam mengendalikan komputer iaitu untuk mengikuti arahan yang diberikan oleh pensyarah.
 Tidak membuka laman web yang tidak berkaitan dengan bahan pembelajaran yang boleh mengurangkan tumpuan terhadap pengajaran pensyarah.
 Cuba memperbaiki kelemahan melalui komen yang diberikan oleh pensyarah dan rakan-rakan.
 Boleh mendapatkan bahan bacaan tambahan yang telah disediakan oleh pensyarah daripada ADEC



2- Apakah bahan atau sumber yang perlu disediakan oleh tutor/pensyarah supaya anda boleh mengawal proses pembelajaran anda atas talian?

Bahan atau sumber yang perlu disediakan oleh pensyarah supaya saya dapat mengawal proses pembelajaran atas talian adalah seperti:

 Menghebahkan informasi terlebih dahulu samada di dalam kelas ataupun melalui pengumuman di dalam ADEC tentang apa yang akan dipelajari pada pertemuan yang selanjutnya agar saya lebih bersedia dengan bahan-bahan yang diperlukan.
 Menyenaraikan URL yang penting bagi mengukuhkan lagi pemahaman tentang apa yang telah dipelajari di dalam kelas.
 Menyediakan nota-nota yang telah dipelajari semasa kelas di dalam ADEC agar boleh digunakan untuk menguatkan lagi pemahaman.

3- Apakah perkara-perkara yang perlu dibuat oleh seorang guru untuk membantu murid meningkatkan kawalan proses pembelajarannya secara atas talian?

Perkara-perkara yang perlu dibuat oleh seorang guru untuk membantu murid meningkatkan kawalan proses pembelajaran atas talian adalah:

 Mempunyai suara yang jelas agar pelajar dapat mendengar arahan yang diberikan
 Memantau proses pembelajaran pelajar agar mereka merasa terpimpin.
 Menyenaraikan URL yang boleh diakses bagi manfaat pelajar.
 Menyediakan bahan bacaan tambahan kepada pelajar untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka.

Refleksi 4

9:35 AM, Posted by irwan, No Comment

Nampaknya kelas kita sudah hampir ke penghujungnya. Saya berharap agar anda sudah mendapat banyak manfaat dan ilmu serta kemahiran dalam masa 9 minggu ini. Anda akan menyerahkan tugasan projek anda tidak lama lagi. Saya ingin mengetahui pendapat anda tentang pengalaman menyiapkan tugasan projek tersebut. Soalan-soalannya adalah seperti berikut:

1. Apakah pendapat/persepsi anda apabila diberitahu bahawa anda dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia?
Saya pada permulaannya berasa agak tidak berkeyakinan untuk menyediakan koswer yang sebegini rupa. Tetapi setelah mengikuti kelas multimedia ini, ianya banyak membantu saya dalam proses menyiapkannya. Ditambah lagi dengan sokongan dan kerjasama kawan-kawan sekumpulan, akhirnya kami berjaya menyempurnakannya walaupun masih terdapat kekurangannya. Walau bagaimanapun, ia merupakan suatu pengalaman yang berguna bagi saya yang baru sahaja berjinak-jinak dalam projek multimedia ini.

2. Pada pendapat anda adakah projek ini akan dapat membantu anda ketika anda menjalani praktikum nanti?

Umumnya, projek sebegini adalah amat membantu saya ketika menjalani praktikum pada bulan depan. Ini kerana, pengalaman yang saya dapat melalui projek ini boleh membantu saya dalam menghasilkan bahan P&P nanti. Walau bagaimanapun, sekiranya saya ditempatkan di sekolah yang tidak mempunyai kemudahan ICT, pengalaman dalam menyiapkan projek ini bolehlah dijadikan kenangan dan akan saya gunakan apabila ditempatkan di sekolah yang mempunyai kemudahan ICT apabila dipostingkan apabila tamat praktikum nanti.

3. Untuk makluman anda ketika pembentangan projek nanti, rakan-rakan anda yang lain dikehendaki untuk membuat penilaian terhadap anda berasaskan bintang (memberikan jumlah bintang yang bersesuaian dengan produk yang dihasilkan dan pembentangan yang dilakukan)
Soalannya, sekiranya anda fasilitator/tutor kelas ini, adakah anda akan menukar kaedah penilaian tugasan ini?
Jika YA, jelaskan bagaimana dan mengapa? Jika TIDAK (dan ingin mengekalkan kaedah penilaian menggunakan sistem bintang), mengapa?

TIDAK. Saya akan mengekalkan penilaian berasaskan bintang ini. Ini kerana ianya lebih mudah dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk menilai. Walau bagaimanapun, saya tidak akan melibatkan pelajar dalam penilaian ini kerana mereka pada pendapat saya tidak dapat memberikan penilaian yang telus sekiranya hendak dibandingkan dengan pensyarah. Tambahan pula, mereka terlibat dengan arahan-arahan yang diberikan oleh rakan mereka yang membentang manakala ada di kalangan mereka yang terlibat dengan pembentangan yang seterusnya. Oleh itu, mereka tidak dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pembentangan rakan mereka, maka adakah penilaian yang mereka buat itu betul-betul telus?

Refleksi 5

9:32 AM, Posted by irwan, No Comment

Apakah cadangan dan pendapat anda bagi memperbaiki sukatan pelajaran yang terdapat dalam subjek Multimedia dalam Pendidikan Islam ini? Adakah ianya perlu diubah? Sekiranya YA kenapa dan bagaimana. Sekiranya TIDAK kenapa?

Pada pendapat saya, saya merasakan bahawa sukatan pelajaran dalam subjek ini tidak perlu diubah. Ini kerana, semua topik yang telah diajar merangkumi kemahiran-kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh saya untuk diaplikasikan dalam proses menyampaikan P&P suatu masa nanti sekiranya saya ditempatkan di sekolah yang mempunyai kemudahan ICT. Walau bagaimanapun, saya dapati walaupun belajar subjek yang sama, tiada keseragaman dalam sukatan pembelajaran di antara ketiga-tiga kumpulan yang mengambil subjek ini. Ini mungkin disebabkan oleh pensyarah yang berlainan. Cadangan saya agar diadakan kesepakatan di antara pensyarah agar tidak terlalu jauh perbezaan di antara topik yang diajar. Walau bagaimanapun, saya berasa bertuah kerana berpeluang untuk mempelajari subjek ini.

Sirah Dzatiah

7:39 AM, Posted by irwan, No Comment



NAMA: IRWAN BIN ABU BAKAR
NO MATRIK: IEB 050041

Al-alwan

11:02 AM, Posted by irwan, No Comment